Minggu lepas merupakan antara minggu paling berat dalam hidup saya sepanjang 38 tahun hidup didunia ini.
Project yang saya terlibat secara langsung selama berbulan-bulan akhirnya go live. Fasa yang semua orang tunggu. Fasa yang menentukan sama ada segala usaha kami berbaloi atau tidak.
Dalam minggu yang sama, saya menerima berita yang merobek hati hancur berkeping-keping iaitu anak saudara saya, baru berusia 21 tahun, telah kembali kepada Tuhan.
21 tahun.
Umur yang sepatutnya sedang membina impian. Sedang berusaha mengejar mimpi. Sedang merancang masa depan.
Sebagai seorang Kristian, saya percaya setiap kehidupan ini adalah pinjaman daripada Tuhan. Tetapi apabila pinjaman itu dipulangkan pada usia yang begitu muda, hati tetap terasa hancur.
Saya berada dalam dilema yang sangat sukar.
Sebahagian diri saya rasa bersalah untuk meninggalkan project pada saat genting. Saya tahu team perlukan saya. Saya tahu tanggungjawab itu besar.
Tetapi sebahagian lagi hati saya tahu, ini adalah peluang terakhir untuk saya melihat wajah anak saudara saya buat kali terakhir.
Saya bertanya pada diri sendiri,
Dalam 10 tahun akan datang, apa yang saya akan lebih sesali?
Tidak berada sepenuhnya ketika project go live…
atau
tidak pulang untuk mengucapkan selamat tinggal?
Dan saya tahu saya akan menyesal tidak pulang untuk mengucapkan selamat tinggal jadi saya nekad memilih keluarga.
Saya memilih untuk balik kampung.
Saya memilih untuk berdiri bersama keluarga dalam kesedihan.Terutamanya keluarga kakak sulung saya.
Saya memilih untuk hadir walaupun hati saya sendiri sedang hancur berkecai.
Project akan tetap go live walaupun tanpa saya, saya ada teammate yang boleh melakukannya.
Tetapi peluang untuk mengucapkan selamat tinggal kepada seseorang yang baru berusia 21 tahun… tidak akan datang dua kali.
Minggu lepas mengajar saya sesuatu yang sangat mendalam.
Kita selalu diajar untuk profesional. Untuk komited. Untuk bertanggungjawab. Dan ya, itu semua penting.
Tetapi kita juga manusia. Kita punya hati. Kita punya keluarga.
Kerjaya adalah sebahagian daripada hidup.
Tetapi keluarga adalah kehidupan itu sendiri.
Saya tidak tahu kenapa Tuhan memanggilnya pulang seawal ini. Tetapi saya percaya setiap yang berlaku ada sebabnya walaupun hati kita belum mampu memahaminya.
Untuk sesiapa yang sedang berada dalam dilema antara kerja dan keluarga , saya doakan Tuhan beri hikmat dan keberanian untuk membuat pilihan yang tidak akan anda sesali di kemudian hari.
Kerana pada akhirnya, yang kita ingat bukanlah tarikh go live.
Yang kita ingat adalah siapa yang kita pilih untuk berada di sisi mereka ketika saat paling penting.
0 comments