Apa Yang Paling Berharga Adalah Keluarga


Happy Valentine's Day 2026!
Saya tidaklah merayakan Valentine's day tetapi Valentine's day sering dikaitkan dengan cinta jadi untuk di hari yang sinomin dengan cinta, saya akan kongsikan mengenai cinta. Tahun ini saya akan kongsikan mengenai cinta kekeluargaan.  

Dalam hidup ini, kita sering kejar banyak perkara, kerjaya, duit, pencapaian, pengiktirafan, dan impian peribadi. Kita rasa bila semua itu tercapai, barulah hidup ini lengkap. Tapi semakin dewasa, semakin banyak pengalaman yang Tuhan izinkan berlaku dalam hidup saya, semakin saya sedar satu perkara…

Apa yang paling berharga sebenarnya adalah keluarga.

Keluarga bukan sekadar orang yang ada pertalian darah dengan kita. Mereka adalah tempat kita pulang bila dunia terasa terlalu berat. Mereka adalah orang yang menerima kita seadanya dengan segala kekurangan, emosi, dan kelemahan.

Dalam kesibukan kerja, meeting, deadline dan tanggungjawab harian, kadang-kadang kita terlepas pandang momen kecil bersama keluarga. Makan malam bersama. Ketawa tanpa sebab. Pelukan sebelum tidur. Perbualan ringkas yang mungkin nampak biasa, tetapi sebenarnya sangat luar biasa.

Saya pernah berada dalam situasi di mana saya perlu memilih antara tanggungjawab kerja dan keluarga. Dan waktu itu, hati saya sangat berbelah bahagi. Tapi akhirnya saya sedar, kerja boleh diganti, project boleh dicari, tapi masa bersama keluarga… bila sudah terlepas, ia tidak akan kembali.

Kehilangan mengajar saya bahawa hidup ini terlalu singkat untuk kita tangguhkan kasih sayang. Kita selalu fikir kita ada banyak masa. Tapi hakikatnya, tiada siapa tahu berapa lama lagi peluang itu akan ada.

Sebagai seorang isteri dan ibu, saya belajar bahawa kejayaan sebenar bukan hanya pada jawatan atau gaji. Kejayaan sebenar adalah bila anak membesar dengan penuh kasih sayang. Bila suami dan isteri saling menyokong dalam susah dan senang. Bila kita tahu, walau apa pun terjadi di luar sana, rumah adalah tempat paling selamat.

Keluarga bukan sempurna. 

Kadang-kadang ada salah faham, ada perbezaan pendapat, ada air mata. 

Tapi di situlah juga ada pengampunan, doa, dan cinta yang tidak bersyarat.

Bagi saya, harta boleh hilang. Status boleh berubah. Kerjaya boleh naik turun. Tapi keluarga itulah pelaburan paling bernilai yang Tuhan amanahkan dalam hidup kita.

Hari ini, jika masih ada peluang, peluklah ibu ayah kita. 

Hargai pasangan kita.

Luangkan masa dengan anak-anak.

Jangan tunggu saat kehilangan baru kita sedar betapa berharganya mereka.

Kerana pada akhirnya nanti, bukan berapa banyak duit dalam akaun bank yang akan kita kenang.

Tetapi siapa yang duduk di sebelah kita ketika kita perlukan mereka.

Dan bagi saya…
Apa yang paling berharga adalah keluarga 🤍






























































0 comments