5 Soalan Yang Working Mom Perlu Tanya Diri di Awal Tahun


Awal tahun selalunya datang dengan satu perasaan bercampur-baur. Ada harapan. Ada semangat baru.
Tapi pada masa yang sama, ada juga tekanan yang senyap.

Tekanan untuk jadi lebih baik. Tekanan untuk capai lebih banyak. Tekanan untuk buktikan bahawa kita tidak ketinggalan dalam hidup.

Sebagai working mom, tekanan ini tak datang dari satu arah sahaja. Ia datang serentak dari kerja, keluarga, kewangan, peranan sebagai isteri, ibu, anak, dan wanita.

Setiap tahun, kita akan selalu bertanya dengan diri sendiri:

“Apa resolusi saya tahun ni?”

Tetapi soalan yang lebih penting dan jarang ditanya ialah:

“Apa sebenarnya yang saya perlukan dalam fasa hidup saya sekarang?”

Sebelum kita bercakap tentang rutin, target, atau pencapaian besar, working mom perlukan clarity tentang apa yang diinginkan dalam hidup.

Di bawah ini adalah 5 soalan penting yang wajar ditanya di awal tahun, bukan untuk menekan diri tetapi untuk memimpin hidup dengan lebih sedar dan tenang.


1. Apa yang paling memenatkan saya tahun lepas dan kenapa?

Soalan ini nampak mudah, tetapi sering dielakkan.

Ramai working mom terus melangkah ke tahun baru tanpa benar-benar memahami apa yang menyebabkan mereka begitu letih/penat secara emosi dan mental.

Bukan semestinya kerana kerja semata-mata. Kadang-kadang keletihan datang daripada terlalu banyak memberi tanpa rehat, cuba menjadi ibu yang sempurna, terlalu banyak komitment yang sebenarnya tidak wajib dan menahan perasaan terlalu lama.

Bila kita jujur dengan punca keletihan, kita berhenti menyalahkan diri sendiri. Mesti ingat, keletihan bukan tanda kita gagal tetapi ia isyarat bahawa ada sesuatu yang perlu diubah.


2. Bahagian hidup mana yang saya selalu abaikan?

Sebagai working mom, kita sangat cekap menjaga keperluan orang lain.
Anak dan suami dijaga.

Kerja disiapkan.

Rumah dijaga dengan baik.

Tetapi cuba tanya dengan jujur:

Bila kali terakhir saya menjaga diri sendiri tanpa rasa bersalah?

Antara perkara yang paling kerap diabaikan oleh working mom ialah kesihatan fizikal, kesihatan emosi, masa untuk diri sendiri dan hubungan dengan Tuhan.

Kita sering berkata:

“Nanti bila anak besar sikit…”
“Nanti bila kerja kurang sibuk…”

Hakikatnya, hidup jarang memberi ruang yang sempurna. Jika kita tidak mencipta ruang untuk diri sendiri, ia tidak akan wujud dengan sendiri.


3. Apa maksud ‘hidup baik’ untuk saya sekarang?

Definisi “hidup baik” berubah mengikut fasa hidup. Mungkin suatu ketika dahulu, hidup baik bermaksud jawatan, gaji, pencapaian dan pengiktifan semata-mata. Tetapi seiringnya berjalan waktu dan bertambahnya pengalaman hidup, hidup baik hari ini mungkin bermaksud,

  • Tidur yang cukup

  • Hubungan keluarga yang tenang

  • Anak yang rasa selamat

  • Hati yang tidak terlalu berat

Tidak salah untuk menukar definisi kejayaan. Tidak salah untuk memilih kestabilan berbanding glamour. Hidup yang baik tidak perlu kelihatan hebat di mata orang lain.

Cukup jika ia membuat kita rasa cukup di dalam diri.


4. Siapa yang paling perlukan versi saya yang lebih tenang tahun ini?

Soalan ini sering menjadi eye opener kerana jawapannya hampir selalu sama iaitu 

  • Anak kita

  • Suami

  • Dan diri kita sendiri

Anak tidak perlukan ibu yang sempurna, anak memerlukan ibu yang hadir secara emosi dan tenang.

Suami tidak perlukan seseorang yang boleh buat segalanya tetapi suami kita memerlukan pasangan yang masih mampu berbual dengan tenang dan menjadi support system dimasa-masa sukar dan menjadi penamping disaat-saat gembira juga.

Dan kita sendiri perlukan nada yang lebih lembut dengan diri sendiri, kurang kritikan dalaman dan lebih mengasihi diri sendiri dan menerima kekurangan sendiri. Saya suka dengan satu qoute ni, don't be so hard on yourself.


5. Jika saya hanya boleh fokus satu perkara tahun ini, apakah itu?

Sebagai working mom kita sering rasa gagal kerana terlalu banyak sasaran yang ingin dicapai, terlalu banyak peranan dan terlalu banyak perbandingan. Hakikatnya, kita tidak perlu membaiki semua perkara dalam satu tahun.

Bayangkan jika tahun ini hanya ada satu fokus utama:

  • Kesihatan

  • Kestabilan kewangan

  • Hubungan keluarga

  • Ketenangan dalaman

Bila kita fokus pada satu perkara, keputusan menjadi lebih jelas. Kita lebih berani berkata “tidak”. Dan kita kurang rasa bersalah.


Hidup Ini Bukan Perlumbaan

Jika anda masih mencari jawapan kepada soalan-soalan ini, itu tidak bermakna anda gagal.

Awal tahun bukan tentang jawapan yang sempurna, tetapi tentang kejujuran dengan diri sendiri.

Sebagai working mom, kita tidak perlu menjadi luar biasa. Cukup menjadi sedar tentang apa yang benar-benar kita perlukan.

Move your own pace...
Pasang niat yang jelas.
Dan dengan hati yang lebih lembut tetapi berani! Kerana hidup yang tenang juga satu bentuk kejayaan.

Jika post ini membuat anda berhenti sejenak dan berfikir, boleh bookmark dan baca semula apabila hidup terasa terlalu laju.

Dan jika anda kenal working mom lain yang mungkin memerlukannya, kongsikan post ini dengan mereka 🤍


Before you go...

Jika kamu rasa post ini bermanfaat untuk kamu, boleh komen "I can be better this year" dalam post terbaru saya di Instagram @borneoworkingmom

See you there!

0 comments