Minggu ini terasa begitu istimewa kerana dalam dua hari lagi, pada 19 September 2025, kami akan menyambut ulang tahun perkahwinan kami yang ke-6. Setiap hari Rabu biasanya saya menulis “Life Story”, dan kali ini hati saya terdorong untuk menulis tentang perjalanan rumah tangga kami sendiri.
Syukur kepada Tuhan, kami masih diberi kesempatan untuk merayakan ulang tahun ini dalam keadaan sihat dan gembira. Enam tahun mungkin kelihatan singkat, tetapi cukup untuk menguji janji setia yang pernah kami lafazkan di hadapan Tuhan.
Tahun ini terasa lain daripada sebelumnya. Saya melalui masa-masa yang sukar: kehilangan bapa yang sangat saya kasihi, dan lima bulan tanpa pekerjaan. Dua ujian besar ini datang hampir serentak, membuatkan saya benar-benar tersungkur. Namun, di tengah kerapuhan itu, ada seorang lelaki yang tetap teguh berdiri di sisi saya iaitu suami saya.
Dia bukan sekadar pasangan hidup, tetapi juga sahabat, penyokong, dan sumber kekuatan saya. Saat saya rasa kosong, dia mengisi dengan doa. Saat saya hampir putus asa, dia hadir dengan kata-kata penguat. Dan saat saya tidak punya apa-apa, dia tetap ada, dengan tindakan-tindakan kecil yang lebih kuat daripada seribu ucapan. Semua itu akan saya kenang seumur hidup.
Saya akui, saya pernah rasa bersalah. Di waktu saya "jatuh", tiba-tiba dia harus memikul beban sebagai penyara utama keluarga kami. Namun, dia tidak pernah mengeluh. Sebaliknya, dia membuktikan kasihnya dengan tetap setia, penuh pengertian, dan terus mengasihi saya lebih dari sebelumnya.
Janji suci yang diucapkannya enam tahun lalu masih segar di ingatan saya:
“Saya Maclare mengambil engkau Paya Roni menjadi isteriku yang sungguh untuk saling memiliki dan menjaga, dari sekarang sampai selama-lamanya. Pada waktu susah maupun senang, pada waktu kelimpahan maupun kekurangan, pada waktu sihat maupun sakit, untuk saling mengasihi dan menghargai, sampai maut memisahkan kita, sesuai dengan hukum Allah yang kudus, dan inilah janji setiaku kepadamu.”
Janji itu bukan hanya sekadar kata-kata indah. Enam tahun ini adalah bukti nyata bahawa kasih setia Tuhan bekerja dalam rumah tangga kami. Saya belajar bahawa perkahwinan bukan sekadar tentang hari-hari indah, tetapi tentang bagaimana kita saling menguatkan ketika badai datang melanda.
Doa saya, semoga di tahun-tahun mendatang, Tuhan terus menjadi pusat dalam keluarga kecil kami. Semoga kami diberi kekuatan untuk menghadapi setiap cabaran, rezeki yang cukup untuk melangkah maju, dan kasih sayang yang semakin bertumbuh setiap hari.
Hari ini, saya ingin berkata dengan penuh syukur :
Selamat ulang tahun perkahwinan ke-6 untuk kami berdua. ❤️
✨ Refleksi untuk anda yang membaca:
Perkahwinan bukan tentang mencari pasangan yang sempurna, tetapi tentang belajar menjadi kuat bersama dalam ketidaksempurnaan. Ia adalah perjalanan iman, saling mengasihi di kala senang, dan saling memeluk erat di masa masa sukar. Bila Tuhan menjadi pusat, kasih sayang itu tidak pernah habis tetapi sebaliknya, ia bertumbuh dan menjadi saksi indah tentang janji setia-Nya.
Jika kamu berminat, boleh tengok album di hari perkahwinan kami pada 19.9.19 dibawah ya.
0 comments