Seorang gadis dari Sarawak melangkah keluar dari zon selesa buat pertama kali. Pertama kalinya saya keluar dari Pulau Borneo. Dengan beg pakaian, doa ibu bapa, dan impian yang belum jelas bentuknya, saya terbang ke Semenanjung untuk menyambung pengajian di Perlis. Masih segar diingatan hari saya terbang ke Semenanjung seorang diri tanpa ibu bapa disisi. Ibu bapa saya tak dapat ikut disebabkan kengkangan kewangan tapi saya bersyukur, ada seorang perempuan sebaya saya pun terbang ke Semenanjung seorang diri seperti saya. Jadi kami dua bersama-sama lah. Kami transit di KLIA1 dan kawan baru saya ini menangis tak henti-henti. Syukur saya sentiasa kuat walaupun dalam hati, saya nak menangis tetapi saya tahan juga. Saya nekad untuk merantau aka sambung study ke Semenanjung.
Waktu itu, saya tak pernah bayangkan perjalanan ini akan memakan masa hampir dua dekad.
Fasa 1: Belajar Berdikari Di Negeri Orang
Perlis mengajar saya erti berdikari.
Tiada keluarga di sisi. Tiada bahasa “kamek–kitak” atau "ake', iku'" yang biasa kedengaran. Semuanya baru.
Makanan berbeza. Saya first time makan mee lakna dan macam-macam makanan Melayu.
Loghat berbeza. Sejujurnya, ada masa saya rasa rendah diri sebab loghat saya berbeza tp saya selalu fikir inilah keunikan saya, tak perlu sama dengan orang lain.
Nama berbeza. Obviously nama saya betul-betul unik dan ada juga kawan-kawan yang tease my name but saya tak ambil personally on that, saya bersyukur mereka mengingati nama saya dengan baik haha
Cara orang berfikir juga berbeza. Saya dibesarkan di kampung dan banyak perkara yang saya tidak tahu seperti orang di bandar di Semenanjung.Tapi takpa, saya boleh belajar dan absorb.
Di situlah saya mula faham, bila kita jauh, kita membesar dengan cepat.
Rindu itu kerap datang, terutama bila melihat kawan-kawan pulang ke rumah hujung minggu. Saya pula tinggal bersama kawan-kawan dari Borneo di tempat tinggal universiti, dan jika nak balik, perlu kira kos tiket untuk balik ke Sarawak. Sejak itu saya belajar satu perkara penting:
Merantau bukan untuk orang yang manja dengan keselesaan.
Fasa 2: Dunia Pekerjaan Di Selangor bermula 2011 hingga 2021
Tamat belajar pada 2011, saya memulakan kerjaya di Selangor.
Sepuluh tahun di Selangor bukan tempoh yang singkat. Di situlah saya benar-benar kenal dunia pekerjaan di Selangor.
Mesyuarat tanpa henti. KPI. Deadline. Politik pejabat. Tekanan untuk sentiasa perform.
Sebagai wanita dari Borneo, saya akui, awalnya saya rasa kecil. Loghat saya lain. Gaya saya mungkin lebih berbeza daripada orang lain. Saya datang tanpa “network besar” atau kabel yang memudahkan laluan.
Tapi saya ada satu perkara:
Disiplin dan daya tahan.
Saya belajar untuk bersuara(walaupun kadang-kadang saya takut)
Saya belajar untuk pertahankan idea (ada juga masa saya terpaksa mengalah)
Saya belajar bahawa keyakinan itu bukan bakat, ia dibina.
Fasa 3: Bekerja di Kuala Lumpur, Realiti Yang Lebih Pantas (2021–2024)
Pada 2021, saya beralih bekerja di Kuala Lumpur(KL).
KL itu berbeza.
Lebih pantas. Lebih kompetitif. Lebih mencabar dari segi mental dan emosi.
Di sini, dunia korporat bukan sekadar kerja. Ia tentang reputasi, kredibiliti, dan keupayaan untuk berdiri sendiri. Kalau tidak bersedia, kita boleh ketinggalan.
Sebagai wanita Borneo, saya tidak mahu sekadar “cukup-cukup makan”. Saya mahu dihormati kerana kemampuan, bukan simpati.
Dan dalam diam, saya sedar, saya sudah jauh berubah dari gadis yang datang dari Sarawak ke Perlis pada 2007.
Fasa 4: Pulang Ke Borneo (2024)
Tahun 2024, saya dapat rezeki dapat pekerjaan di Kota Kinabalu.
Walaupun bukan Sarawak, tetap ada rasa “dekat dengan jiwa”.
Udara terasa lebih ringan.
Langit terasa lebih luas.
Hidup terasa sedikit perlahan.
Dekat dengan keluarga, sempatlah merasa balik kampung setiap kali hujung minggu atau cuti.
Di situ saya sedar sesuatu, selama ini saya terlalu biasa dengan tekanan sehingga lupa bagaimana rasanya bernafas tanpa tergesa-gesa.
Tapi hidup ini tidak sentiasa kekal dalam satu fasa.
Fasa 5: Kembali Ke KL (2025–Kini)
Pada 2025, saya dan keluarga kembali semula ke Kuala Lumpur disebabkan pekerjaan sekali lagi.
Ramai tanya, penat tak ulang-alik fasa macam ni?
Jawapan saya, penat, tapi pengalaman ni sangat luar biasa dan mematangkan saya. Saya tidak sempurna dan masih banyak yang saya harus belajar. Saya selalu mengingati diri untuk sentiasa belajar untuk memperbaiki diri baik secara personal life dan juga professional life.
Kini saya bukan lagi wanita yang cuba membuktikan diri. Saya adalah wanita yang sudah tahu nilai dirinya. Selepas daripada semua pengalaman hidup ini, semua mengajar saya untuk terus hidup dengan lebih baik, dekat kepada Tuhan, sentiasa ingat keluarga adalah harta yang paling berharga saya ada dan hidup ini hanya sementara dan bila-bila sahaja saya akan dipanggil Tuhan. Jadi, setiap hari saya berusaha untuk hidup dengan lebih baik, tidak memikirkan lebih dari seharusnya saya fikirkan dan yang terutama sentiasa sedar bahawa diri ini adalah anak Tuhan, jadi Tuhan adalah lebih besar daripada apa yang saya alami dalam hidup ini.
Antara Rindu & Realiti
Rindu itu sentiasa ada.
Rindu pada keluarga di Sarawak & Sabah.
Rindu pada budaya yang membentuk saya.
Rindu pada versi diri yang lebih sederhana.
Tapi realiti juga perlu diterima.
Realitinya, dunia korporat di Lembah Klang memberi saya pendedahan, pengalaman, kematangan, ketahanan mental dan peluang yang mungkin saya tidak perolehi jika saya tidak merantau.
Saya belajar bahawa kita boleh pegang dua perkara dalam satu masa:
Rindu pada asal usul.
Dan komited pada masa depan.
Apa Makna Menjadi Wanita Borneo Di Dunia Korporat Semenanjung?
Ia bukan tentang membandingkan siapa lebih baik.
Ia tentang membuktikan bahawa wanita dari Borneo juga:
Mampu bersaing
Mampu memimpin
Mampu bertahan dalam tekanan tinggi
Mampu membina kerjaya hampir dua dekad jauh dari kampung halaman
Saya masih anak Sarawak.
Tapi saya juga adalah produk pengalaman di Perlis, Selangor, Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu.
Saya bukan kehilangan akar.
Saya cuma menumbuhkan lebih banyak cabang.
Dan mungkin itulah definisi sebenar merantau bukan untuk lari dari asal usul, tetapi untuk pulang suatu hari nanti dengan versi diri yang lebih kuat.
Untuk wanita Borneo yang sedang berjuang di Semenanjung, percayalah…
rindu itu tidak pernah hilang.
Tapi begitu juga kekuatan dalam diri kita 🤍
Teruskan perjuangan dan teruskan lakukan yang terbaik dimana pun anda berada dan jangan sesekali merasa rendah diri disebabkan asal usul. Jika ada kekurangan, ambil ruang untuk perbaiki dan upgrade diri.
Wanita Borneo juga boleh! 💪

0 comments