Life Story : Belajar Bersabar dalam Dunia yang Laju


Kita hidup dalam dunia yang semuanya serba pantas. Makanan boleh dihantar ke depan pintu dalam masa 30 minit. Maklumat boleh dicari dalam 3 saat. Orang nak kaya cepat, berjaya cepat, kurus cepat, semua pun nak cepat. Semasa saya masih bekerja, semua ni pun saya nak, semua nak cepat, siapa nak lambat kan?

Tetapi selepas kehilangan pekerjaan dan berusaha mencari pekerjaan baru, saya betul-betul kena belajar erti sabar lagi. Dalam dunia yang serba pantas ni, lambat sikit kena tinggal kan? Tetapi, saya diajar untuk sabar lagi. Walaupun sejujurnya ada banyak kali saya berdoa dan memberontak juga dengan Tuhan, kenapa saya perlu bersabar, mana ada bills atau komitment saya bersabar? Saya mengunakan akal logik sendiri dalam menghadapi segala masalah dan sejujurnya saya tidak bersandar kepada Tuhan tetapi akhirnya, saya give up dan berserah penuh kepada Tuhan. You know what, Tuhan selalu ada cara untuk menolong walau sesulit manapun masalah yang dihadapi.


Again, saya belajar satu perkara yang sangat penting iaitu sabar.


Menunggu itu Mengajar Saya Banyak Perkara

Saya tak selalu sabar. Saya juga pernah marah bila sesuatu tak berlaku seperti yang saya mahu. Tapi bila melalui fasa hidup yang mencabar seperti menunggu panggilan kerja, menunggu proses kelulusan, menunggu impian menjadi realiti, saya sedar, menunggu itu bukan membuang masa, tapi membentuk jiwa.

Menunggu mengajar saya:

  • Bahawa masa Tuhan adalah masa terbaik.

  • Bahawa bukan semua perkara perlu disegerakan.

  • Bahawa dalam sabar, ada kekuatan yang orang lain tak nampak.


Sabar Itu Bukan Pasif, Tapi Aktif

Sabar bukan bermaksud duduk diam dan tak buat apa-apa. Sabar bermaksud kita terus buat bahagian kita sambil percaya waktu yang tepat akan datang. Saya terus menulis blog, terus cari peluang, terus berdoa. Tapi saya juga belajar untuk tidak stress bila hasilnya tak muncul esok.

Saya belajar bahawa hasil besar ambil masa. Tanaman ambil masa untuk berbuah. Anak ambil masa untuk membesar. Diri sendiri pun ambil masa untuk berkembang.


Sabar Dalam Fasa Kehidupan

Saya tahu ramai wanita di luar sana sedang menunggu juga:

  • Menunggu jodoh,

  • Menunggu rezeki anak,

  • Menunggu naik pangkat,

  • Menunggu suami berubah,

  • Menunggu saat kehidupan jadi lebih baik.

Kepada kamu, saya faham. Dan saya nak cakap, kamu tidak bersendirian. Teruskan berusaha, teruskan percaya, dan teruskan bersabar. Jangan biar dunia yang laju buat kita rasa kita tertinggal. Kita semua ada pace masing-masing.


Kemenangan Orang Yang Bersabar

Saya percaya, Tuhan tidak pernah terlambat. 

Dan saya percaya, orang yang tahu bersabar akan menang dengan cara yang lebih indah. Bukan kerana mereka cepat, tapi kerana mereka bersedia sepenuhnya bila saat itu tiba.

Hari ini, saya masih belajar untuk bersabar. Tapi satu yang pasti, saya tidak mahu lagi terburu-buru. Kerana dalam sabar, saya jumpa kedamaian.



0 comments