Cara Saya Memperkenalkan Bulan Kemerdekaan Kepada Anak

Bulan Ogos adalah bulan istimewa buat kita rakyat Malaysia. Ia bukan sekadar sambutan Hari Kebangsaan setiap 31 Ogos, tetapi juga bulan untuk kita menanam rasa cinta kepada negara, mengenang jasa para pejuang, dan bersyukur atas nikmat hidup dalam negara yang aman dan bebas.

Dari segi sejarah, 31 Ogos 1957 ialah hari kemerdekaan untuk Persekutuan Tanah Melayu atau Semenanjung Tanah Melayu sahaja. Sabah dan Sarawak ketika itu masih belum merdeka (kedua-duanya kemudian menyertai pembentukan Malaysia pada 16 September 1963). Tetapi, sebagai rakyat Malaysia yang kini bekerja dan hidup di Semenanjung, saya tetap berasa bangga untuk turut meraikan hari bersejarah ini. Sebab pada akhirnya, kemerdekaan Tanah Melayu ialah juga titik penting yang membuka jalan kepada pembentukan Malaysia yang kita cintai sekarang.

Sebagai seorang ibu, saya rasa tanggungjawab untuk memperkenalkan semangat kemerdekaan kepada anak saya bermula dari rumah. Walaupun anak saya baru berusia 5 tahun, saya percaya pendedahan awal sangat penting dan ia boleh dilakukan dengan cara yang sangat mudah dan menyeronokkan.


Kenapa Perlu Ajar Anak Tentang Kemerdekaan Sejak Kecil?

Nilai cinta negara, rasa syukur dan semangat perpaduan tidak berlaku secara automatik. Ia perlu diajar dan dibentuk. Bila kita mula dari kecil, anak-anak akan lebih menghargai erti menjadi rakyat Malaysia  bukan sekadar ikut sambutan, tapi faham makna di sebaliknya.


Apa Yang Saya Buat Untuk Ajar Anak Tentang Merdeka

1. Bercerita Tentang Bendera Malaysia

Saya mulakan dengan Jalur Gemilang. Saya beli bendera kecil, kami sama-sama pasang di rumah. Saya cerita secara ringkas:

“Ini bendera negara kita. Warna merah, putih, biru dan kuning ada maksudnya. Kita hormat dan sayang bendera ini sebab kita rakyat Malaysia.”


2. Putarkan Lagu Patriotik

Lagu seperti Saya Anak Malaysia, Keranamu Malaysia, dan Tanggal 31 jadi latar suasana rumah sepanjang bulan Ogos. Anak saya cepat hafal dan ikut menyanyi. Dari situ saya terangkan maksud liriknya. Anak saya sangat suka lagu Saya Anak Malaysia. Setiap kali memainkan lagu ini, ada perasaan bangga dalam diri dia, walaupun dia masih kecil dan tidaklah memahami apa itu erti semangat patriotik tetapi saya tau dia bangga lahir sebagai anak Malaysia. Saya berdoa supaya dia akan menjadi anak Malaysia yang berguna dan mengharumkan nama negara di serata dunia kelak.


3. Tonton Video Kanak-Kanak Bertemakan Malaysia

Saya cari video pendek yang ceria dan ringkas seperti penceritaan tokoh negara, tempat menarik di Malaysia, makanan tradisi semuanya dalam bentuk visual menarik supaya dia tak bosan.Saya tunjukkan tempat-tempat seperti Gunung Kinabalu, Menara KLCC, Menara TRX dsbnya.


4. Aktiviti Kreatif Bertemakan Merdeka

  • Mewarna bendera

  • Buat ‘flag garland’ hiasan rumah

  • Main teka negara vs negeri (sambil lihat peta ringkas)


5. Kaitkan Dengan Nilai Seharian

Saya ajar dia:

  • Bila kita bebas, kita ada tanggungjawab.

  • Kita bebas main, tapi perlu simpan mainan.

  • Kita bebas bercakap, tapi kena hormat orang lain.

Saya percaya ini semua asas kepada erti kemerdekaan yang sebenar.


Apa Reaksi Anak Saya?

Yang paling saya suka, bila dia sendiri sebut:

“Mummy, I love Malaysia!”
atau
“Let’s sing Saya Anak Malaysia song!”

Itu cukup buat saya tahu bahawa usaha kecil ini memberi kesan. Walaupun dia belum faham secara mendalam, benih cinta negara sudah mula bercambah.


Mulakan Dari Rumah, Dengan Cara Ringkas

Kita tak perlu tunggu anak besar untuk ajar erti kemerdekaan. Tak perlu tunggu mereka belajar sejarah di sekolah. Kita boleh mula dari sekarang  dengan cerita, lagu, dan aktiviti yang menyeronokkan.

Sebab bila anak kita sayang negaranya, dia juga akan jadi anak yang tahu menghargai keamanan, hormat sesama manusia, dan berjiwa besar.

Selamat menyambut bulan kemerdekaan!


Love,

Aya of Borneo Working Mom 💛 and my family

0 comments