Pernah terfikir tak, kenapa ada orang berjaya dan ada orang gagal dalam kehidupan?
Saya sendiri pernah tertanya-tanya tentang perkara ini.
Dulu, pemikiran saya agak berbeza. Saya selalu fikir mungkin saya kurang berusaha, mungkin saya tidak cukup bagus, atau kadang-kadang saya sendiri tertanya-tanya kenapa Tuhan macam tidak adil dengan saya. Hahaha! Sampai boleh juga salahkan Tuhan.
Tetapi, semakin saya belajar dan membaca, semakin saya sedar bahawa ada satu perkara yang mungkin selama ini saya terlepas pandang, iaitu cara kita berfikir.
Baru-baru ini, saya membaca sebuah buku bertajuk Attitude Is Everything: Change Your Attitude, Change Your Life oleh Jeff Keller.
Ada satu perkara yang menarik perhatian saya dalam buku ini. Ia berkaitan enam patah perkataan yang menjadi kunci kepada kejayaan:
KITA MENJADI APA YANG KITA FIKIRKAN.
I was like, eh? Betulkah semudah itu?
Enam perkataan ini nampak ringkas, tetapi sebenarnya mempunyai makna yang sangat besar. Bukan sahaja pemikiran kita boleh mempengaruhi kejayaan, malah pemikiran yang negatif juga boleh menjadi salah satu sebab kita menghalang diri sendiri daripada mencapai sesuatu.
Apa yang kita fikirkan, itulah yang membentuk diri kita
Dalam buku ini, terdapat beberapa petikan yang menarik tentang kuasa pemikiran:
"Apa yang dapat difikirkan dan dipercayai oleh minda, itulah yang dapat dicapai oleh minda."
– Napoleon Hill
"Seseorang adalah apa yang difikirkannya sepanjang hari."
– Ralph Waldo Emerson
"Tiada apa di dunia ini yang tidak boleh anda miliki – sebaik sahaja anda menerima secara mental bahawa anda boleh memilikinya."
– Robert Collier
Ketiga-tiga petikan ini membawa saya kepada satu pemahaman: apa yang kita percaya tentang diri sendiri boleh mempengaruhi bagaimana kita menjalani kehidupan.
Kalau setiap hari kita fikir kita tidak mampu, tidak cukup bagus atau tidak layak untuk berjaya, lama-kelamaan pemikiran itu boleh mempengaruhi tindakan kita.
Kita mungkin tidak berani mencuba. Kita takut mengambil peluang. Kita cepat mengalah sebelum sempat memberikan yang terbaik.
Tetapi, bagaimana pula kalau kita mula mengubah cara kita berfikir?
Bagaimana kalau kita mula percaya bahawa kita sebenarnya mampu belajar, berkembang dan mencapai sesuatu yang selama ini kita anggap mustahil?
Inilah antara perkara yang saya belajar daripada buku ini.
Bagaimana enam patah perkataan ini berfungsi?
Sebenarnya, konsepnya agak mudah.
Apabila kita sentiasa memikirkan sesuatu matlamat, minda kita akan mula memberi perhatian kepada perkara-perkara yang boleh membantu kita mencapainya.
Daripada pemikiran itu, kita mula membentuk tindakan.
Contohnya, kalau kita mempunyai impian untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik, kita akan mula mencari peluang, memperbaiki resume, meningkatkan kemahiran dan berusaha menghadiri temu duga.
Semua ini bermula daripada satu pemikiran.
Sudah tentu, berfikir sahaja tidak cukup. Kita masih perlu bertindak, berusaha dan konsisten. Tetapi, tindakan kita selalunya bermula daripada apa yang kita percaya dan fikirkan.
Sebab itulah saya rasa penting untuk kita menjaga cara kita berfikir.
Bila saya fikir kembali, rupanya saya pernah mengalaminya sendiri
Ada satu perkara yang membuatkan saya tersenyum apabila membaca tentang konsep ini.
Saya teringat kisah perpindahan kami ke Borneo.
Pada awal tahun 2024, antara New Year wishes saya adalah untuk kembali bekerja dan menetap di Borneo.
Waktu itu, saya memang ada keinginan untuk kembali ke sana. Saya tidak tahu bagaimana caranya, bila peluang itu akan datang atau sama ada impian tersebut akan menjadi kenyataan.
Tetapi, saya memang selalu memikirkannya.
Dan akhirnya, pada tahun 2024, saya mendapat peluang untuk kembali ke Borneo dan bekerja di sana.
Cuma ada satu perkara yang kelakar. Saya rasa saya terlupa nak tulis perkataan "selama-lamanya" dalam New Year wishes saya. Hahahaha!
Sebabnya, selepas setahun di Borneo, saya kembali semula ke Semenanjung Malaysia.
Tetapi, apabila difikirkan semula, pengalaman itu mengajar saya bahawa kadang-kadang perkara yang kita impikan dan fikirkan secara konsisten boleh membuka ruang untuk kita mengambil tindakan dan merebut peluang yang datang.
Saya tidak mengatakan bahawa semua yang kita fikirkan pasti akan berlaku. Tetapi, saya percaya pemikiran kita memainkan peranan penting dalam menentukan bagaimana kita melihat peluang dan bertindak terhadap kehidupan.
Kenapa saya suka membaca buku genre self-help?
Saya memang suka membaca buku genre self-help.
Mungkin sebab saya rasa saya masih banyak perkara yang perlu dipelajari tentang kehidupan. Saya suka buku-buku yang memberikan perspektif baharu, mengingatkan saya tentang sesuatu yang penting dan membantu saya melihat sesuatu perkara daripada sudut yang berbeza.
Bagi saya, setiap perkara dalam kehidupan memerlukan ilmu.
Contohnya, kita sebagai working mom. Ada sesiapa yang pernah memberikan kita manual bagaimana hendak menjadi seorang working mom yang baik?
Tidak ada, kan?
Kita masuk ke fasa kehidupan ini secara semula jadi. Tiba-tiba kita perlu mengimbangi kerjaya, keluarga, anak-anak, rumah tangga dan pada masa yang sama menjaga diri sendiri.
Sebab itulah saya suka mencari ilmu melalui pembacaan, perkongsian pengalaman dan belajar daripada orang lain.
Saya percaya kita tidak perlu menunggu sehingga menghadapi masalah untuk mula belajar. Kita boleh mencari ilmu lebih awal supaya kita mempunyai sedikit panduan apabila berhadapan dengan cabaran kehidupan.
Bagi saya, membaca buku bukan sekadar mengumpul pengetahuan, tetapi juga salah satu cara untuk memperbaiki diri.
Jadi, adakah attitude benar-benar everything?
Selepas membaca buku ini, saya semakin sedar bahawa cara kita melihat kehidupan memang boleh memberikan perbezaan yang besar.
Kita mungkin tidak dapat mengawal semua perkara yang berlaku kepada kita. Ada perkara yang di luar kawalan, ada impian yang mengambil masa untuk menjadi kenyataan dan ada juga perkara yang tidak berjalan seperti yang kita harapkan.
Tetapi, kita masih mempunyai pilihan tentang bagaimana kita mahu berfikir, bertindak dan menghadapi setiap situasi.
Saya suka mengingatkan diri sendiri bahawa saya tidak semestinya perlu menjadi hebat hari ini. Saya cuma perlu terus belajar, memperbaiki diri dan tidak terlalu cepat mengalah.
Kita menjadi apa yang kita fikirkan. Jadi, mulakan dengan mempercayai bahawa diri kita juga mampu berkembang menjadi lebih baik.
Kalau anda juga suka membaca buku genre self-help atau sedang mencari sedikit motivasi untuk memperbaiki diri, saya recommend anda membaca buku Attitude Is Everything oleh Jeff Keller.
Mungkin ada sesuatu dalam buku ini yang boleh mengubah cara anda melihat kehidupan, seperti mana ia memberikan perspektif baharu kepada saya.
Happy reading! ❤️

0 comments