"Sekejap, Nak" | Perkataan Yang Paling Kerap Saya Cakap sebagai Working Mom

"Mummy..."

"Sekejap ya, sayang."

Beberapa minit kemudian...

"Mummy..."

"Sekejap."

Tanpa saya sedar, perkataan itu menjadi jawapan automatik setiap kali anak saya memanggil. Terutamanya kalau saya bekerja dari rumah dan anak pula tak berapa sihat...

Sehinggalah suatu hari, saya berhenti seketika dan bertanya pada diri sendiri.

Berapa kali sebenarnya saya menyebut perkataan "sekejap" dalam sehari?

Sebagai seorang ibu yang bekerja dari rumah, saya sentiasa berada dekat dengan anak. Dia nampak saya di ruang tamu, di meja kerja atau di dapur dengan laptop yang sentiasa terbuka.

Pada pandangan anak, Mummy ada di rumah.

Tetapi hakikatnya, fikiran saya sentiasa dibahagikan antara mesyuarat, e-mel, tugasan yang perlu disiapkan, panggilan telefon dan pelbagai tanggungjawab lain.

Apabila anak datang dengan wajah ceria sambil berkata,

"Mummy, tengok ni!"

Jawapan saya hampir setiap kali sama.

"Sekejap ya."

Saya benar-benar maksudkan "sekejap". Saya cuma mahu habiskan satu e-mel, siapkan satu laporan atau balas satu mesej. Namun, "sekejap" itu sering bertukar menjadi lima minit., lima minit menjadi lima belas minit. Dan akhirnya, anak saya pergi bermain sendiri.

Di situlah hati saya mula rasa bersalah.

Saya mula tertanya-tanya...

Bagi saya, "sekejap" bermaksud Mummy akan datang nanti. Tetapi bagi seorang anak kecil, adakah dia mendengar...

"Mama selalu sibuk."

Atau lebih menyedihkan...

"Mama tak ada masa untuk saya."

Fikiran itu benar-benar membuat hati saya sebak. Saya sayang kerjaya saya dan saya juga sayang minat saya menulis. Tetapi lebih daripada segala-galanya, saya sayang anak saya.

Cabaran terbesar seorang working mom bukanlah bekerja.Cabaran sebenarnya ialah cuba memberikan yang terbaik untuk kerja, keluarga dan diri sendiri dalam masa yang sama.Ada hari saya rasa berjaya mengimbangi semuanya. Ada juga hari saya rasa gagal. Dan saya percaya ramai ibu di luar sana pernah merasakan perkara yang sama.

Saya tahu saya tidak akan berhenti menyebut perkataan "sekejap". Ada masanya ia memang perlu. Tetapi saya sedang belajar untuk lebih peka.

Jika sesuatu itu boleh ditangguhkan lima minit, mungkin saya boleh memilih untuk mendengar cerita anak saya terlebih dahulu. Jika e-mel itu tidak terlalu mendesak, mungkin saya boleh menutup laptop sebentar dan memberi perhatian sepenuhnya kepadanya.

Kerana saya sedar, apa yang anak saya mahukan bukanlah hadiah yang mahal atau aktiviti yang hebat. Dia cuma mahukan perhatian daripada mamanya.

Hari ini, saya masih belajar. Belajar untuk tidak terlalu cepat menjawab "sekejap", belajar untuk benar-benar hadir, bukan sekadar berada di rumah. Dan belajar bahawa kadang-kadang, lima minit yang kita berikan kepada anak hari ini akan menjadi kenangan yang dia simpan seumur hidup.


Buat semua working mom di luar sana...

Jika anda juga selalu menyebut perkataan "sekejap", percayalah, anda tidak keseorangan. Kita semua sedang berusaha menjadi ibu yang terbaik mengikut kemampuan masing-masing.

Semoga esok, kita dapat mengurangkan satu "sekejap" dan menambah satu lagi pelukan, satu lagi senyuman, dan satu lagi momen yang akan kekal dalam hati anak-anak kita. Kerana suatu hari nanti, mereka mungkin tidak akan mengingati semua kerja yang kita siapkan.

Tetapi mereka pasti akan mengingati bagaimana kita membuat mereka rasa disayangi.

0 comments