5 Perkara Yang Saya Pelajari Selepas Bekerja di Borneo


Setahun.

Mungkin bagi sesetengah orang, setahun itu singkat. Tetapi bagi saya, setahun bekerja dan tinggal di Borneo telah mengubah cara saya melihat kehidupan, kerjaya dan keluarga.

Walaupun saya berasal dari Sarawak, pengalaman bekerja saya hanyalah di Semenanjung(KL & Selangor), saya tak pernah bekerja di Borneo sebelum ini. Jadi, setelah bekerja di Kota Kinabalu memberi perspektif yang sangat berbeza. Saya belajar banyak perkara yang mungkin saya tidak akan faham jika hanya mendengar cerita orang.

Kini, apabila saya sudah kembali ke Semenanjung, saya sering mengimbau semula pengalaman itu.

Berikut ialah lima perkara paling berharga yang saya pelajari.


1. Kerjaya Bukan Segala-Galanya

Sebelum berpindah, saya fikir kerjaya adalah segala-galanya bagi saya. Tanpa kerjaya,siapalah saya. Saya selalu sentiasa mengingkatkan diri untuk sentiasa productive dan komited 100% setiap hari, sampai disebabkan ini saya rasa terseksa dan burn out! Saya hanya manusia biasa yg tak mungkin productive setiap hari.

Tetapi setelah bekerja di Borneo, saya sedar bahawa kerjaya hanyalah satu bahagian daripada kehidupan. Saya belajar untuk slow down kadang-kadang.

Masa bersama keluarga, kesihatan mental dan ketenangan hati jauh lebih bernilai daripada jawatan atau gaji semata-mata.

Hari ini, saya masih bekerja keras. Namun saya juga belajar bahawa kejayaan tidak bermakna jika kita kehilangan diri sendiri dalam proses mengejarnya.

Dan, pengalaman saya bekerja di Borneo mengingatkan saya bahawa kerjaya boleh hilang bila-bila masa saja.


2. Kita Sebenarnya Tidak Perlu Banyak Untuk Hidup Bahagia

Di Borneo, hidup terasa lebih sederhana.

Tidak perlu sentiasa mengejar trend terkini atau menghabiskan hujung minggu di pusat membeli-belah serta hadap traffic jammed dimana-mana serta tidak perlu terkejar-kejar setiap hari.

Kadang-kadang menikmati secawan kopi sambil melihat matahari terbenam dari dapur rumah kami di KK atau berjalan di tepi pantai sudah cukup membuat hati tenang. Saya paling suka moment breakfast bersama suami sebelum pergi kerja, moment paling saya rindui.

Pengalaman itu mengajar saya bahawa kebahagiaan selalunya datang daripada perkara-perkara kecil yang sering kita abaikan.


3. Keluarga Adalah Sistem Sokongan Yang Sangat Penting

Tinggal jauh daripada ibu bapa dan adik-beradik membuatkan saya lebih menghargai mereka. Saya masih ingat kejadian saya terpaksa masuk hospital untuk membuat pembedahan emergency dan syukur kami berada di KK dan my family in law boleh datang menaiki kereta untuk menjaga anak saya dirumah. Sebab time ni, suami outstation di KL.

Bila anak sakit, bila saya penat bekerja atau bila ada kecemasan, barulah saya sedar betapa besarnya peranan keluarga dalam kehidupan.

Walaupun teknologi membolehkan kita membuat panggilan video setiap hari, ia tidak dapat menggantikan pelukan atau bantuan yang boleh diberikan apabila mereka berada berdekatan.


4. Setiap Tempat Ada Cara Hidup Yang Berbeza

Borneo mengajar saya supaya tidak cepat membuat perbandingan.Setiap negeri mempunyai budaya kerja, makanan, bahasa dan gaya hidup yang unik.

Daripada cuba mengubah keadaan mengikut kebiasaan saya, saya belajar untuk menyesuaikan diri.

Apabila kita menghormati budaya setempat, kita akan lebih mudah diterima dan menikmati pengalaman itu sepenuhnya.


5. Rumah Bukan Sekadar Tempat Tinggal

Selepas kembali ke Semenanjung, ramai bertanya sama ada saya rindu Borneo.

Jawapannya, ya.

Saya rindu makanannya, suasananya, orang-orangnya dan kehidupan yang lebih santai.

Tetapi pengalaman itu juga membuatkan saya sedar bahawa “rumah” bukan sekadar lokasi di peta.

Rumah ialah tempat di mana keluarga berada, tempat kita membina kenangan dan tempat hati kita merasa damai.


Saya tidak tahu sama ada saya akan kembali bekerja di Borneo suatu hari nanti. Biarlah Tuhan yang menentukannya. Saya bersyukur dream back to Borneo dah pernah jadi kenyataan.

Namun satu perkara yang pasti, pengalaman itu telah membentuk diri saya menjadi seorang yang lebih bersyukur, lebih menghargai keluarga dan lebih memahami bahawa setiap perjalanan hidup pasti membawa pengajaran.

Jika anda sedang mempertimbangkan untuk berpindah atau bekerja di Borneo, jangan hanya fikir tentang peluang pekerjaan. Fikirkan juga tentang pengalaman hidup yang bakal anda kutip.

Kerana akhirnya, bukan jawatan yang kita ingat, tetapi perjalanan yang telah membentuk siapa diri kita hari ini.


0 comments