Sejak kebelakangan ini, saya sering melihat dan membaca di social media, ramai orang berkongsi impian untuk berpindah ke Borneo.
Ada yang berasal dari Sabah atau Sarawak dan mahu pulang ke tanah kelahiran. Ada juga yang bukan anak Borneo, tetapi jatuh cinta dengan keindahan alam, makanan, budaya dan rentak kehidupan yang lebih tenang.
Saya sangat faham perasaan itu. Kerana saya juga pernah berada di tempat yang sama sebelum ni.
Saya berasal dari Sarawak, tetapi hampir 17 tahun menetap di Semenanjung. Saya belajar di sini, memulakan kerjaya di sini, berkahwin dan membina keluarga di sini. Walaupun begitu, jauh di sudut hati, saya sentiasa menyimpan impian untuk kembali ke Borneo suatu hari nanti.
Dan pada tahun 2024, impian itu akhirnya menjadi kenyataan.
Saya mendapat peluang bekerja di Kota Kinabalu dan berpindah bersama keluarga. Saya masih ingat betapa terujanya saya ketika itu. Rasa seperti akhirnya saya pulang ke tempat yang selama ini saya rindukan.
Saya membayangkan kehidupan yang lebih tenang, lebih dekat dengan keluarga, dekat dgn makanan yang saya gemari dan suasana yang terasa seperti rumah. Saya benar-benar berfikir, “Inilah tempat kami akan menetap untuk selama-lamanya.”
Tetapi hidup tidak selalu berjalan seperti yang kita rancangkan.
Selepas kira-kira setahun tinggal di Kota Kinabalu, saya dan keluarga membuat keputusan untuk kembali semula ke Kuala Lumpur.
Ramai yang bertanya kepada saya,
“Kenapa balik? Bukankah dulu memang impian nak tinggal di Borneo?”
Jawapan saya tidak mudah. Bukan kerana saya tidak suka tinggal di Borneo atau bukan juga kerana saya menyesal berpindah. Sebenarnya, pengalaman itu membuka mata saya tentang banyak perkara yang saya sendiri tidak pernah fikirkan sebelum ini.
Kalau hari ini ada seseorang bertanya kepada saya sama ada mereka patut berpindah ke Borneo, saya tidak akan terus menjawab “ya” atau “tidak”.
Sebaliknya, saya akan berkongsi apa yang saya pelajari.
1. Berpindah kerana kerja tidak sama dengan berpindah untuk menetap
Saya berpindah ke Kota Kinabalu kerana peluang pekerjaan.
Pada mulanya saya fikir, apabila sudah berada di Borneo, semuanya akan menjadi sempurna. Tetapi saya belajar bahawa berpindah kerana kontrak kerja dan berpindah untuk membina kehidupan jangka panjang adalah dua perkara yang berbeza.
Apabila melibatkan kerjaya, banyak perkara perlu dipertimbangkan seperti peluang perkembangan, kestabilan dan perancangan masa depan.
2. Rasa “balik rumah” memang tidak dapat digambarkan
Sebagai anak Borneo, ada satu perasaan yang sukar dijelaskan setiap kali kapal terbang mendarat di Sabah atau Sarawak.
Saya rasa tenang.
Saya rasa dekat dengan my root saya.
Mendengar loghat tempatan, menikmati makanan kegemaran dan melihat budaya yang membesarkan saya memberikan satu rasa yang sangat istimewa.
Perasaan itu memang best! Serious!
Dan saya bersyukur kerana sempat merasainya setiap hari selama setahun.
3. Kehidupan sebenar tidak sama seperti bercuti
Semasa bercuti, kita hanya melihat sisi yang indah. Tetapi apabila tinggal di sesuatu tempat, kita tetap berhadapan dengan rutin harian.
Bangun pagi.
Pergi kerja.
Menguruskan anak.
Membayar bil.
Menghadapi tekanan kerja.
Di mana-mana pun kita tinggal, kehidupan tetap mempunyai cabarannya.
4. Kerjaya tetap memainkan peranan besar
Akhirnya saya kembali ke Kuala Lumpur kerana peluang kerjaya yang lebih sesuai untuk keadaan saya ketika itu. Adakah itu bermaksud Kuala Lumpur lebih baik daripada Kota Kinabalu?
Tidak.
Ia cuma bermaksud setiap keluarga mempunyai keutamaan yang berbeza pada setiap fasa kehidupan.
Kadang-kadang kita memilih tempat berdasarkan apa yang keluarga kita perlukan pada waktu tersebut.
5. Rumah bukan sekadar sebuah lokasi
Ini mungkin pelajaran terbesar yang saya bawa pulang. Dulu saya fikir, kalau dapat tinggal di Borneo, saya pasti lebih bahagia. Hari ini saya sedar, kebahagiaan tidak bergantung kepada negeri atau bandar semata-mata.
Rumah ialah tempat di mana keluarga kita membesar, rezeki dipermudahkan dan hati kita merasa damai. Kadang-kadang rumah itu berada di tempat yang tidak pernah kita sangka.
6. Saya tidak pernah menyesal berpindah
Kalau diberi peluang untuk mengulang masa, saya tetap akan membuat keputusan yang sama.
Kerana kalau saya tidak pernah berpindah ke Kota Kinabalu, mungkin sampai hari ini saya masih tertanya-tanya bagaimana rasanya tinggal di Borneo.
Sekurang-kurangnya hari ini saya bercakap berdasarkan pengalaman sendiri, bukan sekadar angan-angan.
7. Saya juga tidak menyesal kembali ke Kuala Lumpur
Ramai menganggap kembali ke Kuala Lumpur bermaksud impian saya gagal. Saya tidak melihatnya begitu. Bagi saya, setiap tempat yang pernah saya diami mempunyai peranannya sendiri dalam perjalanan hidup saya.
Kota Kinabalu mengajar saya menghargai kehidupan dekat dengan keluarga.
Kuala Lumpur pula terus memberi ruang untuk saya membina kerjaya, mengembangkan diri dan menyediakan kehidupan yang lebih stabil untuk keluarga saya. Mungkin suatu hari nanti, perjalanan hidup kami akan membawa kami pulang semula ke Borneo.
Siapa tahu?
Kalau anda sedang mempertimbangkan untuk berpindah ke Borneo, saya benar-benar berharap impian itu dipermudahkan jika itulah yang terbaik untuk anda dan keluarga.
Tetapi jangan hanya melihat gambar matahari terbenam yang cantik atau video-video indah di media sosial, lihat juga kehidupan sebenar yang bakal anda bina di sana.
Bagi saya, berpindah ke Kota Kinabalu adalah antara pengalaman paling bermakna dalam hidup. Walaupun hanya setahun, pengalaman itu mengajar saya bahawa kadang-kadang Tuhan membawa kita ke sesuatu tempat bukan untuk kita tinggal selama-lamanya, tetapi untuk membentuk cara kita melihat kehidupan.
Dan sampai hari ini, hati saya tetap orang Borneo.
Cuma saya percaya, jika suatu hari nanti saya pulang lagi, saya mahu pulang bukan sekadar kerana rindu, tetapi kerana itulah masa yang paling tepat untuk keluarga kami.
Kalau anda pernah berpindah negeri atau sedang merancang untuk berpindah ke Sabah atau Sarawak, saya ingin mendengar kisah anda.
Kongsikan pengalaman atau pendapat anda di ruangan komen.

0 comments