Kehilangan orang tersayang memang menyakitkan dan akan diingati sampai bila-bila.
Saya tidak pernah menyangka yang kami sekeluarga akan kehilangan orang tersayang kami dua tahun berturutan... Di tahun 2025, kami kehilangan bapa tercinta kami dan di tahun 2026, kami kehilangan anak buah kami Roy, salah seorang our bundle of joy in the family..
Orang selalu cakap,
“Masa akan sembuhkan.”
“Nanti lama-lama okay lah.”
“Kena redha, kena kuat.”
Tapi bila seorang ibu kehilangan anaknya…apa sebenarnya maksud “move on”?
Sebagai adik, saya melihat sendiri benda ni terjadi kepada kakak sulung saya yang kehilangan anak kedua dia di awal Februari 2026. Dia masih bangun pagi. Masih cuba bercakap seperti biasa. Masih jawab mesej orang.
Tapi saya tahu, ada ruang dalam dirinya yang tak akan pernah sama lagi.
Kerana bagi seorang ibu, anak bukan sekadar sebahagian hidup.
Anak itu darahnya. Nafasnya. Doanya setiap hari.
Bagaimana seorang ibu mahu “move on” dari sebahagian dirinya sendiri?
Kesedihan Yang Orang Tak Nampak
Ramai orang melihat air mata pada hari pertama.
Ramai orang hadir ketika hari pengkebumian.
Ramai orang memberi kata-kata semangat pada minggu pertama.
Tapi selepas itu?
Dunia kembali berjalan seperti biasa.
Semua orang kembali sibuk.
Sedangkan bagi seorang ibu, setiap hari adalah hari mengingati. Dia akan teringat suara anaknya, dia akan teringat makanan kegemaran anaknya dan semestinya dia akan teringat umur yang sepatutnya anaknya capai tahun ini...
Kesedihan seorang ibu bukan sesuatu yang “selesai” selepas beberapa minggu.
Ia tidak hilang. Ia hanya berubah bentuk.
Daripada tangisan kuat… menjadi rindu yang diam.
Jangan Paksa Seorang Ibu Untuk Cepat Kuat
Kadang tanpa sedar, kita paksa mereka.
“Kena redha.”
“Tuhan lebih sayang.”
“Kakak kena kuat demi keluarga.”
Ya, betul semua itu.
Tapi redha bukan butang yang boleh ditekan dalam sehari.
Redha adalah proses.
Dan proses itu panjang.
Seorang ibu mungkin nampak tenang di luar.
Tapi dalam hatinya, dia masih bertanya… masih merindui… masih cuba memahami.
Kita tak perlu jadi penceramah untuk mereka.
Cukup jadi pendengar.
Kadang-kadang, kehadiran tanpa banyak kata itu lebih bermakna.
Tiada “Move On”, Yang Ada Hanya Belajar Hidup Dengan Rindu
Bagi seorang ibu, tiada istilah melupakan.
Tiada istilah menggantikan.
Tiada istilah kembali seperti dahulu.
Yang ada hanyalah belajar hidup dengan kehilangan.
Belajar menerima bahawa ada satu kerusi kosong, ada satu nama yang tak lagi dipanggil dan ada satu doa yang kini berubah maknanya...
Dan walaupun dunia menganggap masa akan memudarkan semuanya…seorang ibu tetap menyimpan anaknya dalam hati sampai bila-bila.
Apa Yang Kehilangan Ini Ajarkan Saya?
Melihat kakak saya melalui ini, saya belajar sesuatu.
Jangan tunggu esok untuk peluk anak.
Jangan tangguh untuk cakap “Mama sayang.”
Jangan kedekut masa dengan keluarga.
Kita tak pernah tahu berapa lama kita dipinjamkan antara satu sama lain.
Dan kepada ibu-ibu di luar sana yang mungkin sedang melalui kehilangan yang sama, kamu tidak lemah.
Air mata awak bukan tanda kurang iman.
Kesedihan awak bukan tanda tidak redha.
Ia tanda cinta yang terlalu dalam.
Kerana benar…
tiada erti move on bagi seorang ibu.
Yang ada hanya cinta yang tidak pernah berhenti. 🤍

0 comments