Kalau satu hari nanti saya tak mampu bekerja seperti biasa, apa saya masih boleh buat untuk terus berdikari?

Hi my fellow working moms, pernah terfikir tak benda ni? 

Mesti pernah kan?

Saya selalu berfikir tentang satu perkara ini, jika saya tak boleh bekerja ofis lagi, apa skill yang saya ada? 

Macam mana saya akan teruskan kehidupan?

Apa yang saya boleh lakukan untuk menjana pendapatan dan tidak bergantung 100% kepada suami?

Jika kamu adalah pembaca setia blog saya, mesti kamu dah tau cerita saya kehilangan pekerjaan tahun lepas. Pengalaman tiba-tiba menjadi suri rumahtangga sepenuh masa tanpa ada back-up terutamanya dari segi kewangan.

Tiba-tiba saya tak boleh kerja di ofis, tak ada pendapatan setiap bulan tapi saya perlu teruskan hidup, teruskan membayar komitment yang sedia ada... buntu jugalah awal-awal.

Kadang-kadang saya terfikir kenapa sejak kecil kita diajar untuk belajar rajin-rajin supaya dapat kerja ofis yang stabil, tetapi jarang sekali kita didedahkan dengan kepentingan ada skill berniaga atau skill lain.Saya tidak pasti keadaan kamu membesar tetapi saya membesar dengan mindset belajar rajin-rajin supaya bekerja di ofis nanti, tak bekerja dibawah panas(ladang). Memang baik dan bagus sudah mindset ini cuma apabila saya membesar, bekerja di ofis ada juga pasang surutnya.

Bukan salah kerja ofis. Saya sendiri datang dari dunia itu. Kerja ofis mengajar disiplin, tanggungjawab dan struktur hidup. Tetapi semakin saya melalui fasa hidup sebagai perempuan, isteri dan ibu, saya sedar satu perkara penting iaitu kerja ofis sahaja tidak cukup untuk menjamin ketenangan dan keselamatan hidup.

Kenapa saya fikir macam tu?


1. Hidup Kita Perempuan Tidak Selalunya Lurus

Hidup kita perempuan ni penuh dengan perubahan. Kita akan tend to sacrifice for our love one. Kita bukan sahaja pekerja, tetapi juga penjaga, pengurus rumah, emosi sokongan kepada keluarga, dan kadang-kadang penyembuh kepada semua orang kecuali diri sendiri.

Ada masa kita kuat. 

Ada masa kita penat. 

Ada masa kita sakit. 

Ada masa anak sakit. 

Ada masa kita perlu berhenti sekejap untuk jaga keluarga. Dan ada masa juga kita dipaksa untuk perlahan walaupun dunia kerja menuntut kita laju.

Dalam situasi begini, saya mula bertanya pada diri sendiri,

Kalau satu hari nanti saya tak mampu bekerja seperti biasa, apa yang saya masih boleh buat untuk terus berdikari?


2. Skill Berniaga Bukan Untuk Kaya Tapi Untuk Ada Pilihan

Bila saya sebut skill berniaga, saya tidak bercakap tentang membina empayar besar atau jadi jutawan. Saya bercakap tentang skill kecil yang boleh jana pendapatan walaupun sedikit.

Contohnya:

* pandai buat kek atau dessert

* pandai menjahit atau alter baju

* pandai masak lauk dan jual secara kecil-kecilan

* pandai urus jualan online

* pandai buat servis tertentu dari rumah

Skill ini mungkin nampak kecil, tetapi dalam situasi tertentu, ia boleh jadi penyelamat. Macam pengalaman saya secara peribadi tahun lepas. Saya kehilangan pekerjaan dan dalam masa mencari pekerjaan, saya cungkil bakat berniaga saya iaitu berniaga homemade aiskrim. Saya tak tau pun saya ada skill ni sebelum ini tetapi saya bersyukur dimasa-masa sukar, saya dapat menjual homemade aiskrim. Walaupun saya sudah ada pekerjaan sekarang tetapi saya masih teruskan menjual homemade aiskrim kerana saya tidak mau skill ini terpadam dan terkubur lagi.

Dengan adanya skill berniaga ni, ia memberi kita pilihan. Pilihan untuk bekerja dari rumah. Pilihan untuk memperlahankan hidup tanpa rasa panik. Pilihan untuk terus rasa berguna dan bernilai, walaupun kita tidak berada di pejabat.


3. Jangan Bergantung Pada Satu Sumber Sahaja

Saya belajar bahawa bergantung sepenuhnya pada satu sumber pendapatan walaupun stabil adalah satu risiko. Bukan kerana kita lemah, tetapi kerana hidup itu sendiri tidak boleh dijangka.

Skill berniaga memberi satu bentuk keselamatan emosi dan kewangan. Ia bukan tentang jumlah duit yang masuk, tetapi tentang rasa yakin bahawa kita masih ada sesuatu di tangan kita sendiri.


4. Tak Perlu Banyak, Cukup Satu

Saya tidak percaya perempuan perlu buat semuanya. Kita tidak perlu pandai serba-serbi. Kadang-kadang cukup satu skill sahaja.

Satu perkara yang kita boleh asah perlahan-lahan. Satu perkara yang kita boleh banggakan. Satu perkara yang boleh kita sandarkan bila hidup memerlukan kita untuk berhenti sekejap.

Mulakan kecil. 

Belajar tanpa tekanan. 

Buat kerana minat, bukan paksaan. 

Dari situlah keyakinan akan tumbuh.


Untuk Diri Saya, Dan Perempuan Lain

Tulisan ini bukan untuk menghakimi sesiapa. Ia lebih kepada peringatan lembut kepada diri saya sendiri dan kepada perempuan lain bahawa kita berhak ada pilihan dalam hidup.

Kerja ofis itu satu jalan. Skill berniaga itu satu lagi jalan. Bila kita ada lebih dari satu jalan, kita tidak akan rasa terperangkap.

Dan bagi saya, itu sudah cukup bernilai.


0 comments