Setiap kali saya baca berita tentang kemajuan di Sarawak, hati saya jadi sayu tapi bangga pada masa yang sama. Negeri kelahiran saya semakin maju, jalan raya semakin baik terutamanya di bandar bandar utama, kalau di pendalaman, saya rasa belum baik sepenuhnya, peluang pekerjaan makin terbuka, dan ramai anak muda mula pulang untuk membina kehidupan di sana. Tapi di sebalik semua itu, saya masih di sini… di Semenanjung Malaysia.
Kadang saya tanya diri sendiri, kenapa saya masih di sini? Bukankah saya juga mahu menabur bakti kepada negeri saya sendiri? Bukankah impian saya dulu untuk kembali dan membina sesuatu di tanah kelahiran saya?
Sebenarnya, tahun lepas saya sudah pun kembali ke Borneo tetapi ke Sabah. Saya fikir inilah masanya untuk saya hidup lebih dekat dengan keluarga dan lebih hampir dengan tanah kelahiran saya. Tapi perjalanan itu tidak semudah yang saya bayangkan. Beberapa bulan kemudian, saya diberitahu bahawa kontrak kerja saya tidak akan disambung. Saat itu, saya rasa dunia saya terhenti sekejap. Saya cuba kuat, tapi dalam diam saya berasa sangat kecewa, eolah-olah impian saya untuk terus bertapak di tanah Borneo pudar begitu saja.
Pengalaman itu meninggalkan sedikit trauma dalam diri saya. Sejak itu, saya jadi lebih berhati-hati untuk berharap. Tapi dalam masa yang sama, saya juga belajar bahawa setiap kejadian ada hikmahnya. Mungkin Tuhan belum izinkan saya menetap di sana lagi, kerana Dia masih mahu saya belajar sesuatu di sini.
Sekarang saya bekerja semula di Semenanjung, dan jujur saya katakan saya sebenarnya suka bekerja di sini. Maybe disebabkan saya bermula career saya disini, jadi saya sudah terbiasa rentak disini. Kehidupan di Semenanjung banyak mengajar saya tentang ketahanan, disiplin, dan peluang untuk berkembang dalam kerjaya. Saya seronok dengan persekitaran kerja saya sekarang, dan saya hargai setiap rezeki yang Tuhan berikan di sini.
Saya percaya, satu hari nanti bila masanya tiba, saya akan pulang, bukan hanya untuk bekerja, tapi untuk benar-benar menabur bakti kepada negeri tercinta saya, Sarawak.
Untuk sekarang, saya masih di sini. Tapi hati saya, tetap di Borneo.

0 comments