Borneo Food : Buah Abung dan Kenangan di Kampung


Kamu pernah dengar atau pernah tengok buah ni?
Saya rasa kebanyakan orang mungkin tak pernah, kan? Disebabkan itulah saya nak kongsi tentang buah ini. Sejujurnya, saya sendiri hampir-hampir lupa macam mana rasanya dan yang lebih lucu, saya pun dah lupa namanya! Syukur, kawan-kawan dan sanak saudara di Facebook membantu saya mengingatkan semula: inilah dia, buah Abung.

Sebagai seorang anak Kenyah, mestilah saya tahu buah ni.
Saya cuba memperkenalkan makanan dan buah-buahan dari Borneo kepada anak saya supaya dia tahu, suka, dan mengingati makanan tradisi Borneo walaupun kami kini tinggal di Semenanjung. Setakat ini, makanan Borneo yang paling dia suka ialah kuih penyaram. Memang agak terbatas untuk memperkenalkan semua makanan Borneo di sini, tapi saya tetap berusaha sekurang-kurangnya dia kenal asal-usul ibunya.

Apabila saya nampak gambar buah Abung ni, saya terus terasa macam “dibawa balik” ke zaman kanak-kanak saya di Kampung Data Kakus. Terbayang-bayang kebun lada milik ibu bapa saya. Di kebun tu, bukan saja ada pokok lada, ada pokok koko dan juga pokok buah-buahan. Ibu bapa saya bekerja sendiri dan berkebun untuk menyara kami sekeluarga.

Saya paling suka ikut mereka ke kebun sebab di situ banyak betul buah-buahan tempatan seperti rambutan, dan di bawah pokok rambutan tu lah, buah Abung ni menjalar. Buah ni tak perlu ditanam pun kerana ia tumbuh liar, tapi rasanya manis dan istimewa.Maybe saya boleh katakan rasa dan tekstur seperti buah naga dalam saiz sangat kecil.

Kalau diberi peluang untuk kembali ke zaman kanak-kanak, saya nak rasa lagi buah ni. Kadang-kadang saya tak sangka haluan hidup saya membawa saya ke bandar. Sejak kecil, saya memang berimpian untuk hidup dan bekerja di bandar dan ya, impian itu akhirnya jadi kenyataan. Tapi, impian itu datang dengan harga yang mahal dimana saya terpaksa tinggalkan kehidupan kampung dan segala kenangan yang mengusik jiwa.

Saya tahu, entri kali ini penuh dengan kenangan zaman kecil saya di kampung ini semua kerana sebiji buah Abung yang sederhana tapi bermakna.


Jangan Lupa Akar Asal Kita

Kadang-kadang benda kecil seperti buah Abung boleh mengingatkan kita tentang siapa diri kita dan dari mana kita datang. Hidup di bandar mungkin memberi keselesaan, peluang, dan kemajuan tapi akar kita tetap di kampung, di tanah tempat kita belajar tentang kesederhanaan, keluarga, dan erti kerja keras.

Saya berharap anak saya, dan juga generasi selepas kita, tak lupa akan asal-usul mereka walaupun hidup jauh dari kampung halaman. Sebab dari situlah bermulanya cerita kita semua tempat di mana kenangan dibina, dan kasih sayang tumbuh tanpa syarat.

0 comments