Hi semua,
Setiap kali tiba 31 Ogos, saya sebagai seorang rakyat Malaysia rasa sangat bersyukur dapat hidup dalam negara yang merdeka. Sejak kecil, saya selalu teruja tengok bendera berkibar, dengar lagu patriotik dan rasa bangga bila lihat kepelbagaian rakyat Malaysia yang hidup bersama-sama walaupun berbeza budaya, bangsa dan agama.
Dari segi sejarah, 31 Ogos 1957 ialah hari kemerdekaan untuk Persekutuan Tanah Melayu atau Semenanjung Tanah Melayu sahaja. Sabah dan Sarawak ketika itu masih belum merdeka (kedua-duanya kemudian menyertai pembentukan Malaysia pada 16 September 1963). Tetapi, sebagai rakyat Malaysia yang kini bekerja dan hidup di Semenanjung, saya tetap berasa bangga untuk turut meraikan hari bersejarah ini. Sebab pada akhirnya, kemerdekaan Tanah Melayu ialah juga titik penting yang membuka jalan kepada pembentukan Malaysia yang kita cintai sekarang.
Semakin dewasa, saya mula fikir, apakah maksud merdeka dalam kehidupan seharian kita sekarang?
Kalau dulu nenek moyang kita berjuang untuk merdeka dari penjajahan, hari ini kita perlu pastikan generasi muda kita merdeka daripada rasa takut, tekanan dan diskriminasi.
Salah satu isu yang sangat dekat di hati saya disaat ini ialah buli di sekolah.
Kenapa tahun ini saya tekankan isu buli berbanding tahun-tahun sebelum ini? Terus terang, sejak akhir-akhir ini banyak kes buli di sekolah yang tular, dan sebagai seorang ibu, ia membuatkan saya semakin bimbang. Bila saya bayangkan anak sendiri akan melalui alam persekolahan tidak lama lagi, hati saya jadi risau. Merdeka bukan hanya tentang sejarah lampau, tapi juga perjuangan kita hari ini untuk memastikan anak-anak kita membesar dalam suasana selamat, bebas, dan dihargai.
Sebagai seorang ibu, saya selalu risau bila fikir tentang anak-anak kita yang akan membesar dan melalui alam persekolahan. Saya percaya ramai antara kita pernah dengar kisah, atau mungkin alami sendiri, pengalaman dibuli sama ada secara fizikal, verbal, atau melalui media sosial. Realitinya, bila seorang murid dibuli, dia sebenarnya tidak pernah rasa “merdeka” untuk belajar dan menjadi diri sendiri.
Bagi saya, merdeka sebenar bukan hanya bebas daripada penjajahan, tetapi juga bila setiap anak Malaysia boleh ke sekolah tanpa rasa takut, tanpa rasa rendah diri, dan tanpa perlu menanggung trauma kerana dibuli.
Di Hari Merdeka ini, saya nak kongsikan harapan saya untuk Malaysia:
Sebuah negara yang bukan sahaja merdeka dari segi sejarah, tapi juga merdeka dari sikap membuli.
Sekolah yang bukan sahaja tempat menimba ilmu, tapi juga ruang anak-anak kita membesar dengan yakin dan bahagia.
Masyarakat yang berani menolak budaya buli, dan sama-sama membina generasi yang lebih baik.
Merdeka bukan sekadar laungan setiap tahun, tapi bagaimana kita bersama-sama mencipta ruang yang bebas untuk anak-anak kita. Bila mereka bebas daripada rasa takut, barulah mereka benar-benar merdeka.
Selamat Hari Merdeka 2025! 🇲🇾
Semoga kita terus hidup dalam keharmonian, kasih sayang dan kebebasan yang sebenar.

0 comments