Pejam celik, dah sebulan rupanya saya kembali bekerja. Kalau saya tengok balik perjalanan sebelum ini, daripada berhenti kerja, menganggur 5 bulan, sampai akhirnya diterima di tempat baru, memang macam mimpi pun ada.
Fasa ini bukan mudah, tapi saya percaya ramai juga yang melalui perkara sama. Sebab itu saya nak kongsikan sedikit apa yang saya belajar, mungkin boleh jadi cermin atau semangat buat yang sedang berada di fasa mencari kerja atau baru mula bekerja.
Lega Bila Ada Rasa Stabil Semula
Antara perkara pertama yang saya rasa ialah lega. Lepas beberapa bulan bergantung pada simpanan dan memerah otak untuk mencukupkan segala-galanya, sekarang saya bersyukur ada pendapatan yang masuk setiap hujung bulan. Walaupun gaji belum cukup untuk “sempurna” semua benda, sekurang-kurangnya ada kepastian. Rasa yakin bila tengok akaun bank tak kosong. Rasa lebih bersemangat nak rancang semula kewangan, hutang, malah sedikit demi sedikit boleh simpan untuk masa depan.
Cabaran Penyesuaian Rutin Harian
Sejujurnya, cabaran terbesar ialah menyesuaikan diri semula dengan rutin kerja. Bangun awal pagi(saya bangun pkol 5am), siapkan brg2 anak, bersiap untuk commute, kemudian duduk berjam-jam fokus di pejabat. Balik rumah pula masih ada kerja rumah yang menunggu. Penat itu memang ada, malah kadang rasa overwhelmed. Tapi saya sedar, ini normal. Tubuh dan minda perlukan masa untuk menyesuaikan diri. Saya belajar untuk lebih teratur, lebih bijak urus masa, dan yang penting tak terlalu keras pada diri sendiri.
Syukur Atas Peluang Baru
Dalam hati, saya sangat bersyukur. Saya tahu bukan mudah untuk dapat kerja baru dalam keadaan pasaran sekarang. Jadi walaupun ada banyak benda yang saya kena belajar, saya anggap ini peluang untuk bina semula keyakinan diri dan mengembangkan kemahiran. Setiap hari saya cuba ingatkan diri, “Ini rezeki, jangan sia-siakan.”
Rindu Masa Bersama Anak Tapi Semuanya ada masanya tersendiri
Satu lagi rasa ialah rindu masa bersama anak. Sebab sekarang masa bersama dia sudah tentu jadi lebih singkat. Kalau dulu boleh temankan dia bermain lama-lama, sekarang masa itu terhad. Balik rumah pula kadang badan penat. Tapi di sinilah saya belajar, kualiti lebih penting daripada kuantiti. Walaupun masa singkat, saya cuba pastikan ia benar-benar bermakna. Saya juga belajar lebih menghargai masa hujung minggu sebagai “quality time” keluarga.
Belajar Jadi Lebih Sabar & Realistik
Sebulan ini juga mengajar saya supaya lebih sabar. Sabar dengan diri sendiri yang sedang belajar semula dunia kerja, sabar dengan perjalanan ulang-alik yang kadang memenatkan, sabar dengan proses adaptasi. Saya juga belajar untuk lebih realistik, tak semua benda boleh sempurna sekaligus. Yang penting, teruskan langkah sedikit demi sedikit.
Pesanan Untuk Yang Sedang Melalui Fasa Sama
Kalau anda sedang mencari kerja atau baru mula bekerja selepas lama berhenti, percayalah anda tidak keseorangan. Perasaan campur-baur itu normal, gembira, takut, penat, rindu, syukur. Ambil masa untuk adaptasi, jangan bandingkan diri dengan orang lain, dan jangan terlalu keras pada diri sendiri. Ingatlah bahawa setiap fasa hidup ada cabaran dan juga rezekinya tersendiri.
Kesimpulannya…
Sebulan pertama kembali bekerja bagi saya adalah fasa belajar semula: belajar mengurus masa, belajar mengawal emosi, belajar menghargai rezeki, dan belajar menghargai diri sendiri. Walaupun penat, saya rasa ini satu langkah besar ke arah kehidupan yang lebih stabil.
Yang penting, saya mahu terus berusaha, dan dalam masa sama, terus bersyukur.
0 comments