Membesarkan Anak Jauh dari Borneo: Usaha Saya Memperkenalkan Budaya Orang Ulu Kepada Anakku

 


Bertahun-tahun mencari rezeki di Semenanjung Malaysia, khususnya di sekitar Kuala Lumpur, membuatkan saya semakin sedar bahawa sejauh mana pun kita pergi, asal usul tetap menjadi sebahagian daripada diri kita. 

Bagi yang belum mengenali saya, saya ialah seorang wanita Orang Ulu (Kenyah) dari Sarawak. Saya dilahirkan dan dibesarkan di Sarawak, sebelum menyambung pengajian di Labuan dan Perlis. Saya mula merantau sejak berumur 18 tahun dan sehingga hari ini, masih belum menetap semula di kampung halaman.

Saya pernah mencuba untuk kembali ke Borneo pada tahun 2024, tetapi pada suku kedua tahun 2025, saya kembali ke Semenanjung Malaysia untuk meneruskan kerjaya. Begitulah perjalanan hidup saya. Kadang-kadang, kita merancang sesuatu, tetapi rezeki membawa kita ke arah yang berbeza.

Sejujurnya, saya masih menyimpan keinginan untuk menetap di kampung halaman atau sekurang-kurangnya di bandar yang berdekatan. Namun, buat masa ini, rezeki kerjaya saya masih di Semenanjung Malaysia. Tidak mengapalah, berkhidmat di negeri orang pun okay. Malaysia juga, kan?


Saya Mahu Anak Saya Mengenali Asal Usulnya

Apabila tinggal jauh dari kampung halaman, peluang untuk melihat dan menyertai aktiviti kebudayaan sendiri memang tidak sebanyak ketika berada di Sarawak.

Perkara ini semakin saya fikirkan apabila melihat anak saya, Karl, membesar di Semenanjung Malaysia.

Saya risau jika suatu hari nanti dia membesar tanpa benar-benar mengenali budaya keluarganya sendiri. Saya mahu dia tahu bahawa dia mempunyai warisan budaya yang indah sebagai seorang anak Orang Ulu dari Sarawak.

Bagi saya, mengenali budaya sendiri bukan bermaksud kita tidak boleh menerima budaya orang lain. Sebaliknya, saya mahu Karl membesar dengan mengenali akar dirinya sambil belajar menghormati kepelbagaian budaya yang ada di Malaysia.

Sebab itulah saya cuba sedaya upaya untuk melibatkan diri dalam aktiviti kebudayaan Borneo apabila ada peluang.

Saya mahu Karl melihat bahawa budaya ini masih hidup dalam diri ibunya, walaupun kami tinggal jauh dari tanah kelahiran.




Kembali Menari Datun Julut Selepas Bertahun-tahun!

Baru-baru ini, saya mendapat peluang untuk mengikuti aktiviti tarian tradisional Orang Ulu, termasuk tarian Datun Julut.

Kalau tidak silap, kali terakhir saya menari Datun Julut ialah ketika zaman sekolah menengah dahulu. Selepas itu, memang tidak pernah menari lagi!

Dulu, saya bukanlah seorang yang begitu mahir menari. Kalau ada persembahan di sekolah, rasanya saya selalu menjadi pilihan terakhir atau tidak terpilih langsung. Hahaha!

Sekarang, apabila mendapat peluang untuk menari semula, saya cuba sahaja.

Kaku? Memang kaku. Lupa langkah? Mungkin juga. Hahaha!

Tetapi tidak mengapalah. Namanya pun belajar semula. Kalau tidak berlatih, sampai bila-bila pun tidak akan pandai, kan?

Bezanya sekarang, saya bukan sekadar mahu mencuba sesuatu yang sudah lama saya tinggalkan. Saya juga mahu anak saya melihat dan mengenali budaya yang menjadi sebahagian daripada identiti keluarganya.










Budaya Kita, Warisan Generasi Seterusnya

Semakin meningkat usia, semakin saya menghargai perkara yang dahulu mungkin saya anggap biasa.

Ketika tinggal di Sarawak, budaya Orang Ulu berada dekat dengan kehidupan seharian saya. Namun, apabila sudah lama merantau, saya sedar bahawa saya sendiri perlu berusaha untuk terus mengenali dan mengekalkan hubungan dengan budaya tersebut.

Saya percaya, anak-anak tidak semestinya akan mengenali asal usul mereka secara automatik. Mereka perlu diberi peluang untuk melihat, mendengar, mempelajari dan merasai sendiri budaya keluarga mereka.

Mungkin saya tidak dapat menetap di Sarawak buat masa ini. Mungkin Karl tidak membesar dalam persekitaran masyarakat Orang Ulu seperti saya dahulu. Tetapi itu tidak bermakna kami perlu kehilangan hubungan dengan budaya sendiri.

Saya mahu Karl mengenali tarian tradisional, pakaian, muzik dan kisah masyarakat kami. Saya mahu dia tahu dari mana asal keluarganya dan membesar dengan rasa bangga terhadap identitinya.

Saya sendiri masih banyak yang perlu dipelajari. Tidak mengapa jika langkah tarian saya masih kaku atau saya perlu belajar dari awal. Yang penting, saya masih mahu mencuba.

Kerana sejauh mana pun kita merantau untuk mencari rezeki, kita tetap boleh membawa budaya sendiri bersama-sama.

Saya mungkin sudah lama meninggalkan kampung halaman, tetapi Borneo tetap sebahagian daripada diri saya.

Dan saya berharap, suatu hari nanti, Karl juga akan dapat berkata dengan bangga:

“Saya anak Borneo. Saya anak Orang Ulu.” ❤️


0 comments