“Masa Muda Hanya Sekali” – Lagu Yang Masih Saya Ingat Hingga Hari Ini



Sedarlah teman hidup ini sementara,

Tak akan kekal, semua akan binasa…

Jangan abaikan masa muda kita semua

masa muda hanyalah sekali


Chorus:

masa muda hanyalah sekali

tak akan terulang lagi

jadilah pelaku Firman Tuhan

dan jangan hanya duduk mendengar


Walaupun engkau ditimpa kecewa

bukan kau sorang pernah mengalami

jangan kerna itu, imanmu menjadi lemah

itu untuk melatih dirimu


Ini adalah lirik lagu "Masa Muda Hanya Sekali".


Jika anda membesar dalam kalangan belia gereja sekitar tahun 90-an atau awal 2000-an di Belaga atau kampung, saya yakin lagu ini bukanlah sesuatu yang asing.

Lagu ini sering dinyanyikan ketika persembahan belia, kebaktian muda-mudi, retreat, ataupun semasa nyenang muda-mudi. Setiap kali lagu ini dimainkan, semua orang akan menyanyi bersama-sama. Masa itu, mungkin kita hanya seronok menyanyi tanpa benar-benar memahami maksud di sebalik liriknya.

Hari ini, selepas bertahun-tahun meninggalkan zaman muda, lagu ini masih menjadi salah satu lagu yang saya suka dengar. Kadang-kadang saya menyanyi seorang diri di rumah. Hahaha… suara bukan sedap mana pun, nanti hujan lebat pula! 🫣

Saya tidak pasti siapa pencipta lagu ini, tetapi saya sangat bersyukur kerana lagu ini pernah menjadi sebahagian daripada zaman muda saya. Dulu saya fikir maksud “masa muda hanya sekali” hanyalah supaya kita tidak mensia-siakan usia muda. Sekarang, apabila umur semakin bertambah, berkeluarga, bekerja, dan melalui pelbagai fasa kehidupan, saya semakin memahami maksudnya.


Ya… masa muda memang hanya sekali.

Bukan bermaksud kita perlu mengejar semua perkara atau hidup tanpa arah, tetapi gunakanlah masa muda untuk perkara yang bernilai.

Belajar bersungguh-sungguh.

Melayani Tuhan dengan hati yang ikhlas.

Menghargai ibu bapa sementara mereka masih ada.

Membina persahabatan yang baik.

Mencuba perkara baharu.

Berani mengejar impian.

Kerana suatu hari nanti, kita akan melihat ke belakang dan sedar bahawa semua itu hanyalah kenangan.

Hari ini saya bukan lagi seorang belia gereja.

Saya seorang isteri.

Saya seorang ibu.

Saya juga seorang wanita yang masih belajar tentang kehidupan setiap hari. Tetapi lagu ini tetap mengingatkan saya bahawa walaupun masa muda telah berlalu, saya masih boleh menggunakan setiap musim kehidupan ini dengan sebaik-baiknya.

Mungkin sekarang bukan lagi musim muda. Tetapi ini adalah musim untuk menjadi seorang ibu yang baik.

Musim membina kerjaya.

Musim mengejar impian yang pernah saya tangguhkan.

Musim berkongsi pengalaman melalui penulisan.


Setiap musim ada tujuannya. Dan setiap musim juga akan berlalu. Sebab itu, saya mahu belajar menghargai setiap satunya. Kalau anda juga pernah membesar dengan lagu ini, saya ingin tahu…

Apakah lagu rohani yang masih membuatkan anda tersenyum atau mengimbau kenangan sehingga hari ini?

Kadang-kadang, sebuah lagu bukan sekadar lagu.

Ia adalah kapsul masa yang membawa kita kembali kepada siapa diri kita dahulu, dan mengingatkan kita supaya terus hidup dengan tujuan pada hari ini.


0 comments