Sebagai ibu bapa, kita semua mahu anak mengenali Tuhan sejak kecil. Tetapi realitinya, tidak semua Ahad berjalan lancar. Ada pagi yang dipenuhi dengan drama.
“Tak nak pergi…”
“Nak duduk dengan Mama…”
“Penatlah…”
Percayalah, anda bukan seorang sahaja yang mengalaminya. Anak kami beberapa tahun tidak mahu ke sekolah minggu sebab dia tak biasa, anak kami lahir di tahun 2020, tahun pandemik melanda seluruh dunia.
Namun, kami bersyukur kebelakangan ini, anak kami mula mau ke sekolah minggu tanpa diminta, dia pergi sendiri. Syukur! Akhirnya kami di fasa ini.
Tetapi, ada jugalah hari tak mau pergi tapi takpa. Saya juga sedang belajar. Saya sedar, matlamat kita bukan sekadar memastikan anak hadir ke Sunday School setiap minggu, tetapi membantu mereka membina hubungan dengan Tuhan yang akan kekal sehingga dewasa.
Jadi, bagaimana kita boleh menggalakkan mereka?
1. Jadikan Hari Ahad Sesuatu yang Dinantikan
Suasana di rumah memainkan peranan yang besar.
Bangun sedikit awal supaya pagi tidak kelam-kabut. Pasangkan lagu pujian semasa bersiap. Bantu anak memilih pakaian mereka sendiri. Apabila ibu bapa tenang, anak juga lebih mudah berasa teruja.
2. Bercakap Tentang Sunday School Dengan Positif
Daripada berkata,
“Hari ini wajib pergi Sunday School.”
Cuba tukarkan kepada,
“Hari ini cikgu Sunday School mesti ada cerita Bible yang menarik. Tak sabar nak dengar apa yang kamu belajar nanti.”
Perkataan kita membentuk persepsi mereka.
3. Berkawan Dengan Kanak-kanak Lain
Ramai kanak-kanak sebenarnya datang kerana mereka seronok berjumpa kawan.
Galakkan mereka bermain bersama selepas ibadah atau sertai aktiviti gereja. Apabila mereka mempunyai kawan di Sunday School, mereka akan lebih bersemangat untuk datang.
4. Tanya Apa Yang Mereka Belajar
Selepas pulang, jangan hanya bertanya,
“Seronok tak?”
Sebaliknya cuba tanya,
- Siapa watak dalam cerita hari ini?
- Apa yang paling kamu suka?
- Apa yang Tuhan ajar hari ini?
Perbualan kecil seperti ini menunjukkan bahawa apa yang mereka pelajari adalah penting.
5. Jadilah Contoh
Anak lebih banyak belajar daripada apa yang mereka lihat berbanding apa yang mereka dengar.
Apabila mereka melihat ibu bapa membaca Alkitab, berdoa, menyanyi memuji Tuhan, dan pergi ke gereja dengan sukacita, mereka akan memahami bahawa iman bukan sekadar aktiviti hari Ahad, tetapi gaya hidup.
6. Jangan Paksa Dengan Marah
Ada hari anak mungkin meragam, mengantuk atau tidak mahu berpisah dengan ibu bapa.
Daripada memarahi mereka, cuba fahami perasaan mereka dahulu. Berikan pelukan, yakinkan bahawa Mama atau Papa akan menunggu selepas kelas selesai.
Kadang-kadang mereka hanya memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri.
Sebagai ibu bapa, kita tidak dapat memaksa iman bertumbuh dalam hati anak.
Apa yang kita boleh lakukan ialah menyediakan persekitaran yang penuh kasih, menunjukkan teladan yang baik, dan terus mendoakan mereka.
Benih yang kita tanam hari ini mungkin tidak terus nampak hasilnya.
Tetapi suatu hari nanti, kita akan bersyukur kerana kita tidak pernah berhenti membawa mereka mengenal kasih Tuhan.
Bagaimana pula pengalaman anda? Adakah anak anda terus suka ke Sunday School atau pernah melalui fasa sukar?
Saya suka membaca dan belajar daripada pengalaman ibu bapa yang lain. Kongsikan di ruangan komen. ❤️
0 comments