1 Julai 2026
Hari ini, genap enam tahun usia anak lelaki kami, Karl.
Rasanya seperti baru semalam saya mendukung bayi kecil yang bergantung sepenuhnya kepada saya. Hari ini pula, dia sudah menjadi seorang kanak-kanak yang petah bercakap, suka bertanya pelbagai soalan dan semakin berdikari.
Menjadi seorang ibu tidak datang dengan buku panduan. Tiada siapa yang benar-benar bersedia untuk segala cabaran, kegembiraan, air mata dan kasih sayang yang datang bersama gelaran "Mama".
Sempena ulang tahun Karl yang ke-6, saya ingin berkongsi enam perkara yang saya pelajari sepanjang enam tahun menjadi seorang ibu.
1. Kasih sayang tidak memerlukan kesempurnaan
Sebelum bergelar ibu, saya selalu risau sama ada saya akan menjadi seorang mama yang baik. Saya fikir saya perlu sentiasa melakukan semuanya dengan sempurna.
Hakikatnya, anak tidak memerlukan ibu yang sempurna.
Mereka hanya perlukan seseorang yang sentiasa ada untuk memeluk mereka, mendengar cerita mereka dan menyayangi mereka tanpa syarat.
Karl mengajar saya bahawa kasih sayang tidak diukur melalui hadiah mahal atau sambutan hari jadi yang mewah, tetapi melalui masa yang diluangkan bersama.
2. Anak mengajar saya menghargai perkara-perkara kecil
Karl mudah gembira.
Makan aiskrim bersama.
Berjalan-jalan di taman.
Ketawa kerana perkara yang sangat kecil.
Sebagai orang dewasa, kadang-kadang kita terlalu sibuk mengejar sesuatu yang lebih besar sehingga terlupa menikmati perkara-perkara sederhana.
Karl sentiasa mengingatkan saya bahawa kebahagiaan tidak semestinya mahal.
3. Saya belajar menjadi lebih sabar
Saya akui, ada hari-hari yang sangat mencabar.
Apabila penat bekerja, mengurus rumah, mengejar dateline dan dalam masa yang sama cuba menjadi ibu yang terbaik, kesabaran saya juga ada hadnya.
Namun setiap kali melihat wajah Karl yang tersenyum, saya belajar untuk menarik nafas dan mencuba lagi.
Menjadi ibu bukan tentang tidak pernah marah.
Tetapi tentang sentiasa kembali memeluk dan memperbaiki keadaan.
4. Masa berlalu jauh lebih pantas daripada yang kita sangka
Saya masih ingat hari pertama menghantar Karl ke tadika. Saya masih ingat bagaimana dia menggenggam tangan saya dengan erat dan menguatkan di hari pertama berjauhan dengan dia.
Kini dia semakin membesar.
Semakin banyak perkara yang boleh dilakukan sendiri.
Sebagai ibu, saya sedar bahawa setiap fasa hanya datang sekali. Itulah sebabnya saya cuba menghargai setiap pelukan, setiap cerita sebelum tidur dan setiap gelak ketawanya.
5. Anak menjadikan saya terus kuat
Ada waktu dalam hidup apabila saya berasa penat.
Ada cabaran dalam kerjaya.
Ada tekanan kewangan.
Ada kehilangan yang sukar diterima.
Tetapi setiap kali saya melihat Karl, saya tahu saya perlu terus melangkah. Bukan kerana hidup sentiasa mudah, tetapi kerana saya mahu menjadi contoh bahawa kita boleh bangkit walaupun melalui masa yang sukar.
Karl adalah antara sebab terbesar saya tidak mudah berputus asa.
6. Menjadi mama adalah hadiah paling bermakna
Daripada semua peranan yang pernah saya pegang, pekerja, rakan sekerja, isteri, penulis blog, gelaran "Mama" adalah yang paling berat tetapi worth it.
Ia bukan tugas yang mudah.
Tetapi ia adalah perjalanan yang penuh kasih sayang dan pembelajaran. Setiap hari, saya bukan sahaja membesarkan Karl.
Karl juga sedang membesarkan saya menjadi seorang manusia yang lebih penyayang, lebih sabar dan lebih bersyukur.
Selamat Hari Jadi, Karl ❤️
Selamat Hari Jadi yang ke-6, anak mama.
Terima kasih kerana mengajar mama tentang kasih sayang, kesabaran dan kebahagiaan yang sebenar.
Mama berdoa agar kamu membesar menjadi seorang anak yang takut akan Tuhan, menghormati orang lain, baik hati dan sentiasa berani mengejar impian.
Tidak kira berapa umur kamu nanti, kamu akan sentiasa menjadi "baby" mama.
Semoga Tuhan sentiasa melindungi setiap langkahmu.
Mama sayang Karl, hari ini, esok dan selama-lamanya.
Happy 6th Birthday, Karl! 🎂❤️




0 comments