Bekerja Dengan Gen Z: Banyak Yang Saya Belajar Daripada Mereka

Sejak kembali bekerja semula, saya berpeluang bekerjasama dengan ramai rakan sekerja daripada pelbagai latar belakang dan peringkat umur. Ada yang lebih berpengalaman daripada saya, dan ada juga yang baru memulakan perjalanan kerjaya mereka.

Antara yang paling ramai saya temui ialah Gen Z.

Saya tahu, generasi ini sering menjadi topik perbualan di tempat kerja. Ada yang menganggap mereka terlalu sensitif, terlalu berani bersuara atau mempunyai cara kerja yang berbeza daripada generasi sebelumnya.

Tetapi apabila saya bekerja rapat dengan mereka, pengalaman saya agak berbeza.

Saya sebenarnya suka bekerja dengan mereka.

Sebagai seseorang yang sudah lebih 13 tahun berada dalam dunia pekerjaan, saya selalu percaya bahawa pengalaman adalah guru terbaik. Namun, bekerja dengan Gen Z mengingatkan saya bahawa pembelajaran tidak datang hanya daripada mereka yang lebih berusia atau lebih berpengalaman.

Kadang-kadang, kita juga belajar banyak perkara daripada mereka yang lebih muda.

Dan itulah yang saya alami.


Mereka Tidak Malu Bertanya

Perkara pertama yang saya perasan ialah mereka berani bertanya apabila tidak faham.

Mereka tidak berpura-pura tahu.

Jika ada perkara yang kurang jelas, mereka akan terus bertanya. Pada mulanya saya rasa pelik juga kerana generasi saya lebih cenderung untuk cuba mencari jawapan sendiri dahulu.

Tetapi lama-kelamaan saya sedar, bertanya bukan tanda kelemahan. Ia tanda mereka mahu belajar dan mengelakkan kesilapan.


Mereka Cepat Menyesuaikan Diri Dengan Teknologi

Gen Z membesar dalam dunia digital.

Apabila ada sistem baharu, aplikasi baharu atau cara kerja baharu, mereka biasanya lebih cepat menyesuaikan diri.

Kadang-kadang saya pula yang belajar daripada mereka.

Ini mengingatkan saya bahawa pembelajaran tidak berhenti selepas kita tamat universiti atau mempunyai pengalaman bertahun-tahun.


Mereka Berani Memberi Pendapat

Saya suka melihat keyakinan mereka untuk berkongsi idea.

Walaupun masih baharu dalam organisasi, mereka tidak takut untuk mencadangkan penambahbaikan.

Sudah tentu tidak semua idea boleh dilaksanakan, tetapi keberanian untuk bersuara itu sesuatu yang baik.

Kadang-kadang idea yang nampak sederhana boleh membuka perspektif yang baharu kepada seluruh pasukan.


Mereka Mengingatkan Saya Tentang work life balance

Generasi saya dibesarkan dengan pemikiran bahawa kerja keras adalah segala-galanya.

Gen Z pula lebih terbuka bercakap tentang keseimbangan antara kerja, keluarga dan kesihatan mental.

Walaupun ada perkara yang mungkin kita tidak setuju, saya rasa ada nilai yang boleh dipelajari di situ.

Kita perlu bekerja dengan bersungguh-sungguh, tetapi dalam masa yang sama menjaga diri sendiri dan orang yang kita sayangi.


Saling Melengkapi

Saya percaya setiap generasi mempunyai kekuatan masing-masing.

Daripada membandingkan siapa yang lebih baik, mungkin lebih baik jika kita memilih untuk saling belajar dan menghargai perbezaan yang ada.

Saya mempunyai pengalaman yang boleh dikongsi dengan mereka, dan mereka pula membawa idea, keberanian serta perspektif yang segar.

Pada akhirnya, tidak kira sama ada kita Gen X, Milenial atau Gen Z, kita semua sedang melalui perjalanan yang sama belajar, berkembang dan berusaha menjadi versi terbaik diri kita.

"Besi menajamkan besi, orang menajamkan sesamanya." — Amsal 27:17

Ayat ini mengingatkan saya bahawa Tuhan sering mengajar kita melalui orang di sekeliling kita. Kadang-kadang melalui mereka yang lebih berpengalaman, dan kadang-kadang melalui mereka yang jauh lebih muda daripada kita.

Dan bagi saya, bekerja dengan Gen Z adalah salah satu peringatan bahawa pembelajaran tidak mempunyai had umur. Selagi kita mempunyai hati yang terbuka untuk belajar, sentiasa ada sesuatu yang boleh kita pelajari daripada orang lain.

0 comments